20170801_163935Pada pengamal latihan luar atau pengemar aktiviti lasak mungkin biasa dengan nama Outward Bound School, Lumut atau OBS (Sekolah Latihan Bina Semangat). Sebuah organisasi non-profit yang boleh dikatakan pengasas latihan luar (outdoor training) bina diri dengan kaedah ‘experiential learning‘. Boleh rujuk pautan https://www.outwardbound.net untuk mengetahui sejarah, falsafah, kaedah, lokasi dan maklumat lain berkaitan organisasi ni. 

Entri ni bukan nak ceritakan berkenaan organisasi ni tetapi teras kepada pembangunan yang digunapakai  olehnya yang boleh diaplikasikan dalam mendidik generasi seterusnya. Teras pembangunan yang masih dan amat relevan dengan situasi sekarang. Terutama untuk mengatasi situasi ‘penyakit sosial’  masa kini seperti;

  • Penurunan kadar kecergasan kerana kebergantung pada kenderaan dan cara hidup tak aktif;
  • Kurangnya inisiatif untuk mengambil tindakan sendiri (lebih pasif) dan kebergantungan pada bantuan luar;
  • Tidak mahir dalam kerja pertukangan asas (kebergantungan yang tinggi pada ‘template’ atau alatan khas). Asyik nak membeli atau mengupah saja untuk barang/perkhidmatan yang remeh;
  • Tiada penekanan pada displin diri dan kurangnya empati kerana kesibukan kehidupan.

Teras pembangunan ini amat sesuai untuk dijadikan panduan dalam perancangan aktiviti pembangunan diri individu. 

FB_IMG_1501576577598

Aku beruntung dapat ikuti latihan 25 hari atau ‘Standard Course‘ Siri SC420 pada 20 tahun yang lalu. Kemudian turut serta menawar diri sebagai pembantu kursus (Course Assistant) pada beberapa program. Disinilah aku berpeluang untuk memahami dan menghayati teras yang diterapkan pada setiap peserta kursus. 

Teras-teras (pillars) yang diterapkan dalam setiap kursus atau program pembangunan ialah dengan memberi ;

  • Kesedaran diri (self-awareness). Kenal diri, tahap displin, tahu potensi, kelebihan dan kelemahan diri. Tahu tahap dan motivasi diri. 
  • Kesedaran pada keupayaan fizikal (physical fitness). Hidup aktif,  sihat tubuh badan dan mengurangkan kebergantungan pada alatan dan pengangkutan. 
  • Kesedaran pada kebolehan pertukangan dan melakukan sesuatu dengan sendiri (craftsmanship & ability to do things on your own). Dapat melakukan sesuatu kerja dengan kurang kebergantungan pada alatan khas. Kreatif dalam menyelesaikan masalah. 
  • Kesedaran pada kemampuan untuk bekerja pasukan (work with others). Boleh bekerja dan berinteraksi dengan  orang lain dengan baik. Mempunyai empati pada orang sekeliling. 
  • Kesedaran pada belas kasihan dan khidmat masyarakat (compassion and community service). Berfikir dan bertindak untuk memudahkan orang lain. Individu yang menyumbang balik  pada masyarakat sekeliling. 

Setiap satu teras ini akan membentuk individu mencapai tahap ‘self-actualization‘ iaitu individu yang sihat secara psikologi, individu yang telah mencapai tahap tertinggi  hierarki keperluan kehidupan dan individu  yang menghargai nilai-nilai murni dalam kehidupan. 

maslow

Hieraki Keperluan oleh Maslow (Maslow’s Hierarchy of Needs)

Photo source: Simply Psychology @www.simplypsychology.org

Mungkin sudah ada perubahan atau penambahbaikkan pada teras ini pada masa kini. Tetapi aku secara peribadi amat menghargai 5 teras yang aku kongsikan kerana ia merupakan pencetus kepada perubahan diri aku sendiri.  

Pendekatan yang aku suka dengan organisasi ini ialah ia bebas dari bias atau memberi keistimewaan pada mana-mana pengaruh politik, agama dan kaum dalam pentadbiran dan perlaksanaan kursus dan program . Harap ia masih dikekalkan sebegitu.