Ada 2 calon pekerja datang temuduga. keduanya mempunyai penampilan yang sama.

Calon pertama; seorang yang mempunyai CGPA 4.0, sangat berpengetahuan luas (macam ensiklopedia bergerak). Semua soalan berkaitan dengan bidang dijawap penuh yakin. Tiada sebarang ‘kecacatan’ sepanjang temuduga.

Calon kedua; seorang yang dapat keputusan akademik  sederhana, CGPA biasa-biasa saja. Ambil sedikit masa untuk ingatkan teori atau fakta untuk jawab soalan. Tapi tahap keyakinan sama dengan calon sebelumnya.

picturetopeople.org-c2a5d837ec9a4039327f10f55ca73b132e38af787295039d74Satu soalan ‘standard‘ yang ditanya kepada calon-calon ini ialah; berapakah tinggi bangunan 6 tingkat ini  (tempat temuduga berlangsung) dalam meter?

Calon pertama menjawab  24 meter dengan yakin. Ini berdasarkan pencarian maklumat sebelum temuduga. (Contoh persediaan sebelum temuduga yang agak ekstrem).

Calon kedua menjawab tidak tahu. Tapi meminta masa 30minit untuk dapatkan jawapan. Dia keluar bangunan, ukur bayang-bayang bangunan, kemudian bayang-bayang sendiri, kemudian mengira dengan membandingkan ketinggian diri sendiri dan mendapat jawapan 24 meter.

Keduanya dapat jawapan yang sama dan ia jawapan yang betul.  Sekiranya ada satu saja kekosongan, siapakah yang akan dipilih?

Aku pilih calon kedua sebab;

  • Mempunyai inisiatif yang kuat; 
  • Jujur mengaku tak tahu (tiada cubaan kelentong atau main hentam);
  • Yang paling penting, tahu cara berfikir dan tahu mengaplikasikan  ilmu. Bukan sekadar menghafal maklumat. Keupayaan befikir (thinking capacity) yang terbukti melalui penyelesaian masalah dengan keterbatasan  alatan. Secara peribadi, inilah aset yang paling penting bagi individu. 
  • Pointer CGPA yang sederhana juga berkemungkinan sebab semasa belajar, calon ini bukanlah sekadar “ulat buku”, tapi juga menikmati hidup sebagai pelajar (bermain, bersosial, melibatkan diri dengan program atau mencari peluang bekerja sambil belajar dan lain-lain lagi…).
  • Maklumat yang banyak sahaja tidak banyak membantu sekiranya ia tidak dapat diaplikasikan, dan dalam situasi kerja tak semua maklumat perlu dihafal. Tapi kemahiran mencari maklumat adalah sesuatu yang sangat diperlukan untuk menyelesaikan masalah.

Persoalannya, adakah sistem pendidikan kita mengajar anak-anak;

  • Berdaya saing dan bukan cepat mengalah bila ketiadaan sesuatu kelebihan atau bila ada keterbatasan  alatan?
  • Berfikir dan mengaplikasikan ilmu atau sekadar menjadi seorang yang menghafal?;
  • Menggunakan akal untuk berfikir cara menyelesaikan masalah?;
  • Cara untuk mendapatkan dan memproses maklumat, bukan sekadar menghafal maklumat?

Persoalan ini timbul kerana amat jarang aku berjumpa calon temuduga yang seperti calon ke dua ini. kebanyakannya akan mengaku ‘tak tahu’, tapi berhenti disitu saja, dan tiada usaha untuk mencari jawapannya, atau cuba ‘mengoreng’ jawapan atau yang lebih agresif, akan mempersoalan kenapa soalan ini ditanya dan apa relevannya dengan jawatan yang ditemuduga.

Entri ini ditulis setelah membaca tulisan Saiful Nang bertajuk “Mengapa pendidikan di Malaysia mundur?”  @ https://warnaasia.com/2016/11/24/mengapa-pendidikan-di-malaysia-mundur-saiful-nang/

 

Advertisements